Search

Sabah, Terengganu terikat di Likas

September 15, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC dan Terengganu FC berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Jaringan kedua-dua pasukan terhasil pada babak pertama, masing-masing oleh tuan rumah pada minit kesembilan, manakala gol pasukan lawan terhasil pada masa tambahan separuh masa pertama.

Gol tunggal Sabah dihadiahkan penyerang baharu dari Brazil, Joao Pedro Boeura Duarte, manakala jaringan penyamaan Terengganu dihasilkan Ismaheel Akinade.

Kedudukan 1-1 pada separuh masa pertama itu kemudiannya berlanjutan sehingga tamat 90 minit perlawanan, termasuk empat minit waktu kecederaan diberikan pengadil.

Secara keseluruhan, perlawanan kedua-dua pasukan di hadapan lebih 5,600 penonton di Stadium Likas kelihatan agak seimbang, meskipun pemain Terengganu lebih agresif melakukan serangan.

Pemain Sabah bagaimanapun banyak kehilangan bola berikutan hantaran yang kurang kemas menyebabkan mereka kurang berpeluang melakukan serangan berbahaya.

Pasukan Terengganu yang mendapat lebih banyak peluang melakukan serangan juga tidak berjaya menambah gol berikutan kekebalan pertahanan Sabah sekali gus mengekalkan kedudukan 1-1 sehingga ke wisel penamat. – Info X