Search

SABAH TETAPKAN TUJUH KEUTAMAAN LAKSANA PEMBANGUNAN KEBUDAYAAN

February 26, 2023

admin

TUARAN: Kerajaan menetapkan tujuh keutamaan dalam dilaksanakan pembangunan kebudayaan di negeri ini antara tahun 2021 sehingga 2030.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, tujuh keutamaan berkenaan adalah pendigitalan seni budaya atau eCulture; pelancongan budaya bersepadu; pemuliharaan budaya; pengukuhan hubungan etnik; penyelidikan dan dokumentasi budaya; pengembangan seni budaya serta perlindungan harta intelek.

“Semua keutamaan ini sejajar dengan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam pembangunan budaya pelbagai etnik di Sabah dan peranan itu dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

“Kita mahu menerusi tujuh keutamaan ini semua badan kebudayaan dan komuniti membangun bersama, menghayati dan seterusnya menjiwai nilai kebudayaan yang mereka warisi dari generasi yang terdahulu dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan Duang Festival di Rumah Kebudayaan Rumpun Bajausama di Kampung Lok Batik, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan telah meluluskan empat projek berimpak besar dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta iaitu Projek Pemetaan Budaya 2021-2025 dan Pelan Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah 2020 -2030.

“Selain itu, projek meningkatkan produk pelancongan budaya Pusat Kebudayaan Murut Sabah di Tenom dan projek meningkatkan infrastruktur Pusat Kebudayaan Sabah Penampang. Kesemua projek ini sedang dalam proses pelaksanaan.

“Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM9.5 juta kepada LKNS dalam Belanjawan 2023 Sabah untuk melaksanakan pelbagai program bagi memulihara kekayaan dan warisan seni budaya etnik negeri ini.

“Ia termasuk Hentian Budaya (Cultural Pit-Stop) yang telah dirangka untuk memperkasakan industri pelancongan berasaskan budaya dengan dua lokasi baharu di Kota Belud dan Tawau,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menggesa semua pemimpin masyarakat, jabatan dan agensi kerajaan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua lapisan masyarakat di negeri ini agar terus memperkasa dan memelihara seni, budaya dan adat tradisi bangsa dengan sebaik-baiknya.

Sementara itu, bercakap mengenai Duang Festival di Rumah Kebudayaan Rumpun Bajausama, Hajiji yang juga Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah menyatakan Duang Festival yang julung kali diadakan mampu menjadi wadah untuk mengetengahkan budaya dan tradisi daripada kepelbagaian etnik di Sabah kepada pengunjung dan generasi muda.

“Insya Allah, festival ini akan dianjurkan setiap tahun pada bulan Februari dan telah dimasukkan dalam kalendar pelancongan. Saya yakin festival ini dapat mengangkat nama daerah Tuaran sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

“Selain Pusat kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, di Tuaran ini juga banyak tempat-tempat menarik seperti Tembara River Cruise, Taman Buaya, Linangkit Cultural Village, Rumah Terbalik, Rumah Semut dan banyak lagi di daerah Tamparuli dan Kiulu.

“Kita berasa bangga kerana di Sabah, kita mempunyai pelbagai budaya daripada 35 etnik dan 217 sub-etnik, dengan semuanya mempunyai budaya dan bahasa masing-masing,” katanya. – Info X