Search

Sabah tewaskan PDRM untuk kembali ke tangga ke-3 Liga Super

April 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC kembali ke tangga ketiga Liga Super musim ini setelah menambah tiga mata apabila menewaskan PDRM FC 1-0 dalam aksi di Stadium Likas, malam ini.

Gol tunggal Sang Badak itu dijaringkan menerusi tandukan Dominic Tan ketika menyambut bola sepakan sudut Saddil Ramdani pada minit ke-42.

Ia satu-satunya peluang terbaik Sabah dalam aksi malam ini selepas berdepan kawalan ketat PDRM yang dari awal babak pertama berusaha menghalang kemaraan tuan rumah.

Harapan Sabah untuk menambah gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-67 setelah penyerangnya yang baru dimasukkan, Muhammad Jafri Chew dijatuhkan juga tidak kesampaian.

Jafri dijatuhkan pertahanan PDRM, Kyaw Min Oo di kawasan kotak penalti sebelum diberi sepakan penalti oleh pengadil, Muhammad Izzul Fikri Kamaruzzaman, namun dibatalkan setelah beliau menyemak video bantuan pengadil (VAR).

Pembatalan itu dilakukan selepas pengadil mengambil kira kesalahan pemain Sabah yang berlaku sebelum Jafri dijatuhkan di kotak penalti. – Info X