Search

Sabah tolak sebarang tuntutan luar – Hajiji

July 30, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tegas dengan pendiriannya tidak mengiktiraf sebarang tuntutan pihak luar ke atas kedaulatan Sabah, termasuk kumpulan yang mendakwa pewaris Kesultanan Sulu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sebarang cubaan tuntutan termasuk seperti berlaku ketika insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 akan ditentang.

Beliau berkata, dakwaan yang mengatakan Sabah milik Kesultanan Sulu adalah tidak berasas, lebih-lebih lagi ia sudah tidak wujud dan tidak pernah diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

“Kesultanan Sulu sudah lama tidak wujud dan tidak diiktiraf oleh mana-mana negara berdaulat atau organisasi antarabangsa.

“Ia adalah percubaan tidak berasas oleh kumpulan berkenaan untuk mendakwa kedaulatan ke atas wilayah Malaysia,” katanya pada pelancaran buku mengenai Op Daulat Tanduo di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Buku bertajuk ‘Pasukan Gerakan Am, Briged Sabah: Menghapuskan Pengganas dan Kolum Kelima di Kampung Tanduo, Lahad Datu’ itu menceritakan kisah sebenar ketika insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

Dokumentasi mengenai operasi pasukan keselamatan ketika insiden itu dilakukan menerusi kerjasama Jabatan Arkib Negeri Sabah dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah.

Hajiji berkata pendirian kerajaan negeri jelas dan selaras dengan suara rakyat Sabah yang memilih untuk membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia pada tahun 1963 (MA63).

Sehubungan itu, katanya sebarang tuntutan luar tidak akan dilayan oleh kerajaan negeri dan rakyat Sabah keseluruhannya.

“Pengorbanan pasukan keselamatan, terutama ketika insiden Tanduo adalah besar kerana mereka berjuang untuk kedaulatan negara dan keselamatan rakyat dengan nyawa mereka.

“Peranan PGA dalam insiden itu sangat dihargai semua rakyat Malaysia kerana tanpa keberanian dan pengorbanan mereka, kedaulatan negara akan terancam.

“Oleh itu, saya berharap buku ini akan memberi manfaat kepada orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pencerobohan pengganas di Tanduo dan pengorbanan pasukan keselamatan kita.

“Sebagai warganegara Malaysia, kita perlu mengambil iktibar daripada insiden itu dan terus memperkuat semangat patriotik kita dalam memastikan kedaulatan negara terus dilindungi dan dipelihara,” katanya.

Hajiji juga berharap penerbitan buku itu membolehkan generasi muda memahami apa yang berlaku ketika pencerobohan berkenaan, terutama pengorbanan pasukan keselamatan negara. – Info X