KOTA KINABALU: Slogan Sabah untuk Sabahan adalah pendirian yang sah untuk maruah politik, integriti perlembagaan dan kebenaran sejarah Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Menerusi satu kenyataan, di sini, beliau menafikan pandangan yang melihat slogan itu sebagai satu tindakan berunsur penentangan terhadap Persekutuan.
Jelasnya, Sabah bukan sebuah negeri bawahan, sebaliknya ia adalah rakan setara bersama Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu yang membentuk Persekutuan Malaysia.
“Kita membentuk persekutuan Malaysia sebagai rakan setara bersama Sarawak dan Malaya berdasarkan perkara yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya.
Kenyataan beliau menyusul selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebut slogan Sabah Untuk Orang Sabah tidak seharusnya dibangkitkan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) kerana tidak selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan keterangkuman antara parti politik dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), berkata Sabah Untuk Sabahan bukan slogan politik sementara, sebaliknya terus kekal kerana ia adalah satu pemulihan kebenaran yang sudah lama tertunggak.
Beliau mendakwa, jika ada unsur pecah belah, ia adalah disebabkan sikap angkuh Persekutuan yang enggan mengiktiraf kedudukan Sabah yang sah.
“Kerjasama dengan Putrajaya mestilah berdasarkan rasa hormat dan kesaksamaan, bukannya ketundukan.
“Kita akan bekerja bersama apabila ia memanfaatkan Sabah tetapi kita tidak boleh bertoleransi dengan campur tangan, manipulasi dan eksploitasi,” katanya.
Ahli Parlimen Keningau itu berkata, sama ada Sabah bergerak ke hadapan sebagai sebuah rakan yang dipulihkan dalam persekutuan atau melakar babak baharu, bergantung kepada bagaimana negeri ini dilayan.
Beliau menggariskan beberapa fakta yang didakwanya sebagai tindakan menyebabkan Sabah kehilangan haknya sejak 1976.
Ia termasuk kawalan terhadap sumber minyak dan gas dari Sabah yang diletakkan di bawah PETRONAS dan pemadaman status sebagai sebuah negara dan rakan setara dari Perlembagaan Persekutuan dan negeri.
Selain itu, katanya Projek IC (kad pengenalan) diguna untuk membawa masuk pendatang tanpa izin dan mengubah demografi Sabah serta masa depan politiknya secara kekal.
Beliau juga mendakwa, Perlembagaan Sabah diganggu bagi membolehkan kemasukan parti dari Semenanjung yang menggilirkan jawatan Ketua Menteri seperti satu pemberian sehinggalah giliran UMNO tiba.
Katanya, hutan dan tanah diberikan kepada entiti jauh dari Sabah yang mengkayakan orang lain atas perbelanjaan negeri ini.
Jelasnya, dasar hasil Persekutuan juga berterusan melucutkan hak perkongsian Sabah, manakala infrastruktur negeri ini kekal ketinggalan berpuluh tahun.
Beliau turut mendakwa janji Borneonisasi dengan mengutamakan jawatan utama Persekutuan di Sabah kepada rakyat tempatan sebagai rosak apabila ia didominasi penjawat awam dari Semenanjung.
“Sekarang, selepas semua ini, kita diminta tidak meluahkan aspirasi kita sendiri? Duduk diam manakala parti dari Semenanjung berunding dalam kalangan mereka mengenai siapa yang memerintah Sabah?
“Sabah ada hak untuk memutuskan hala tujunya. Jika Malaysia bermaksud apa-apa, ia mesti dibina atas perkongsian tulen, bukan penguasaan,” katanya. – Info X