KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Tenom sekali lagi akan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Piala Kaamatan 2023 yang bakal berlangsung pada 30 dan 31 Mei ini.
Presidennya Datuk Peter Anthony berkata, sama seperti sebelum ini, SAFA Tenom telah menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Kalimaran bersempena dengan perayaan itu dan ianya mendapat sambutan luar biasa walau hanya dibuka kepada pasukan dari Tenom.
Katanya, Piala Kaamatan akan berlangsung di Padang Pekan Tenom dan ianya terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori lelaki dan wanita.

Bagi kategori lelaki, pasukan yang menjadi johan akan menerima hadiah wang tunai RM5,000, tempat kedua sebanyak RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000 manakala hadiah sagu hati bagi tempat keempat dan kelima masing-masing akan menerima hadiah RM500.
Selain itu, beberapa hadiah sampingan akan turut diberikan iaitu kepada pemain terbaik, penjaring terbanyak dan penjaga gol terbaik di mana masing-masing akan menerima hadiah RM200.
Bagi kategori wanita pula, pasukan yang muncul sebagai juara akan menerima hadiah RM3,000, tempat kedua RM1,500 dan tempat ketiga RM1,000 manakala tempat keempat dan kelima juga masing-masing akan membawa pulang hadiah RM500.
Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, penyertaan akan mula dibuka hari ini sehingga 25 Mei ini.
Katanya, mana-mana pasukan yang ada di Tenom boleh mula mendaftar dengan menghubungi jawatankuasa penganjur iaitu Donneysius Ansuku di nombor 013-8966787 atau 016-9604589 (Dell), 016-4759947 (Arfinus Harun) dan 014-3582441 (Nixboy Piunin).