PUTATAN: Tindakan menyalahkan kerajaan negeri semata-mata berhubung isu jalan raya rosak dan bekalan elektrik yang sering terputus disifatkan sebagai tidak kena pada tempatnya.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pihak lawan yang menghentam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas dua isu itu gagal menyemak fakta dengan betul.
Beliau menjelaskan sebahagian besar masalah itu adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan berikutan kerosakan jalan kebanyakannya membabitkan jalan raya berstatus Jalan Persekutuan yang terletak dalam bidang kuasa kerajaan Pusat.
Bagi isu bekalan elektrik, katanya tanggungjawab sebenar terletak di tangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), iaitu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Persekutuan yang menjadi pemilik Sabah Electricity.
“Apabila ada dari sebelah (pembangkang) hentam masalah jalan raya, mereka sebenarnya hentam kerajaan Persekutuan sedangkan mereka juga sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.
“Begitu juga masalah elektrik, apabila putus bekalan, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor disalahkan, sedangkan faktanya penjana elektrik di Sabah ialah Sabah Electricity dan ia adalah milik TNB, sebuah syarikat kerajaan Persekutuan.
“Walaupun kerajaan Sabah ada pegangan dalam Sabah Electricity, tapi cuma 18 peratus. Jadi, kita kena faham ini dan bukan bermakna kita lepas tangan, kita bantu tetapi fakta biarlah betul,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam ucapan perasmian Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Petagas, Mohd Isquzawan Israq Arsit.
Masidi yang juga Timbalan Presiden Gagasan Rakyat berkata, kerajaan negeri juga tidak lepas tangan dalam menyelesaikan isu kerosakan jalan raya, namun proses menyelesaikan masalah itu tidak dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat.
Selain dua isu itu, beliau turut mengulas masalah bekalan air yang juga dijadikan bahan pihak lawan untuk menghentam kerajaan pimpinan GRS.
Namun, katanya masalah sebenar isu air di negeri ini bermula dengan tindakan kerajaan negeri sebelum ini menerusi langkah drastik yang diambil kepemimpinan kerajaan ketika itu.
“Masalah air dari kerajaan dulu, mereka tamatkan konsesi kononnya untuk jimatkan wang, tapi bukan dapat jimat, sebaliknya kos air meningkat dan hilang pakar dari syarikat konsesi, itu yang kita hadapi sekarang.
“Apabila ditamatkan konsesi, kita terpaksa bayar pampasan dan kita bayar RM300 juta kepada syarikat konsesi air kerana tamatkan konsesi mereka.
“Dua kali kita rugi, iaitu hilang kepakaran urus air syarikat konsesi dan kita terpaksa bayar ganti rugi kerana tamatkan kontrak syarikat konsesi sebelum matang,” katanya.
Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri tidak berdiam diri seperti dituduh pihak lawan dalam menyelesaikan masalah air, sebaliknya berusaha melaksanakannya sejak dua setengah tahun yang lalu.
Tempoh itu, katanya terlalu singkat untuk menyelesaikan semua usaha yang dilaksanakan.
Jelasnya, walaupun kerajaan sekarang sudah berusia hampir genap lima tahun, namun ia tidak dapat berfungsi dengan lancar pada awalnya, khususnya antara 2020 hingga 2021 disebabkan pandemik COVID-19.
Katanya, walaupun COVID-19 semakin reda pada 2022, kerajaan diganggu lagi dengan cubaan untuk menjatuhkan GRS bermula pada akhir tahun 2022. – Info X