KOTA KINABALU: Mensasarkan orang awam yang leka menggunakan telefon bimbit di kawasan sunyi kerap dijadikan sebagai modus operandi bagi seorang penjenayah sebelum ditahan polis, semalam.
Lelaki warga asing terbabit berjaya ditahan bersama seorang lagi rakannya apabila kegiatannya terbongkar selepas berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika ditahan, polis turut merampas pakaian yang digunakan suspek ketika menyamun.
Katanya, suspek mengaku melakukan kegiatan jenayah berkenaan seorang diri manakala suspek kedua hanyalah rakan menagih dadah.
“Kes terakhir yang dilakukan suspek adalah pada 19 Disember lalu membabitkan seorang mangsa berusia 48 tahun yang disamun di kawasan tangga bangunan kedai di pusat bandaraya.
“Mangsa yang juga seorang ahli perniagaan mendakwa telefon bimbit dam dompetnya yang mengandungi dilarikan dengan anggaran kerugian kira-kira RM400,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, kejadian berkenaan sempat dirakam CCTV berhampiran dan siasatan terus dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Kesekaaan.
Katanya, hasil semakan sepanjang Disember lalu, polis menerima sebanyak tujuh kes samun dan berkemungkinan membabitkan suspek yang sama.
“Modus operandi adalah menyamun mangsa yang sedang leka menggunakan telefon bimbit di kawasan sunyi.
“Manakala semua barangan yang disamun pula akan dijual kepada mana-mana individu pada harga yang rendah bagi tujuan membeli dadah,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, pihaknya percaya lebih banyak kes akan berjaya diselesaikan berdasarkan pendedahan suspek.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Kesekaaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat,” katanya. – Info X