KOTA KINABALU: Jaringan landasan kereta api yang berakhir di Sembulan, di sini, akan dipanjangkan hingga ke Pelabuhan Sepanggar.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata perkara itu menjadi keutamaan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) ketika ini.
Katanya, kerajaan juga meneliti cadangan membangunkan rangkaian kereta api menghubungkan pantai barat dan pantai timur, namun masih di peringkat awal.
“Untuk Sabah, kita menerima beberapa cadangan pihak yang berminat, ada yang dari China dan ada juga dari India untuk membangunkan jaringan kereta api di Sabah, tapi ia baru di peringkat awal.
“JKNS ketika ini lebih menumpukan usaha untuk mewujudkan laluan kereta api Tanjung Aru – Sembulan ke Pelabuhan Sepanggar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim, petugas Pejabat Parlimen Putatan dan media, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Sementara itu, mengulas cadangan sebuah syarikat dari Brunei untuk membangunkan projek kereta api berkelajuan tinggi menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Shahelmey berkata perkara itu diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan.
Katanya, kajian kebolehlaksanaan projek itu dilaksanakan kementerian terbabit pada tahun ini memandangkan ia adalah projek merentasi sempadan dan membabitkan rangkaian kereta api yang panjang.
“Bagi cadangan projek kereta api Trans Borneo, kajian kebolehlaksanaannya akan dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan pada tahun ini,” katanya.
Semalam, sebuah syarikat dari Brunei, Brunergy Utama Sdn Bhd melalui laman Facebooknya mengemukakan cadangan untuk membangunkan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi menghubungkan Brunei dengan Sabah, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.
Projek yang dinamakan Kereta Api Trans Borneo (TBR) sepanjang 1,620 kilometer itu dicadang menghubungkan bandar kuasa ekonomi keempat-empat wilayah, bermula di Pontianak, Kalimantan Barat ke Kuching dan bandar utama lain di Sarawak hingga ke Brunei dan Kota Kinabalu di Sabah bagi fasa pertama.
Fasa kedua pula dicadang menghubungkan Brunei dengan Sarawak dan Kalimantan Utara serta Kalimantan Timur melalui beberapa destinasi, antaranya Ba’kelalan di Sarawak selain Malinau, Tanjung Selor, Samarinda, Balikpapan dan akhirnya di ibu kota baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan. – Info X