Search

Sambutan Aidiladha: Wanita cedera dirempuh kerbau terlepas ikatan

June 18, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seekor kerbau merempuh penduduk sehingga menyebabkan seorang wanita cedera selepas terlepas daripada ikatan ketika hendak dikorbankan sempena sambutan Aidiladha di Kampung Rampayan, Manggatal, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa yang berusia 40-an mengalami retak tulang kaki kiri dan telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Timbalan Pengerusi Surau Ar-Rahman Kampung Tobur, Rampayan, Ali Osman Ismail berkata ketika kejadian penduduk kampung sedang bersiap melakukan penyembelihan ibadah korban membabitkan lima ekor kerbau.

“Ketika kejadian, penduduk kampung sedang memindahkan kerbau untuk disembelih namun salah satu tali pada kerbau berkenaan telah terputus dan menyebabkan ia terlepas.

Kerbau yang terlepas dari ikatan merempuh penduduk kampung sehingga seorang wanita cedera dalam kejadian di Kampung Rampayan, Manggatal, Kota Kinabalu.

“Kerbau itu kemudian berlari dan berpusing di sekitar kawasan penyembelihan sambil merempuh penduduk kampung yang berada di tempat kejadian.

“Seorang penduduk kampung ketika itu mahu menyelamatkan anaknya namun dia pula yang dirempuh oleh haiwan berkenaan sehingga cedera,” katanya.

Katanya, susulan kejadian itu penduduk kampung terpaksa menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan awal dan membawa mangsa ke hospital.

“Selepas diperiksa, mangsa mengalami keretakan pada tulang kaki kiri dan terpaksa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Haiwan korban itu bagaimanapun, katanya selamat disembelih selepas berjaya ditangkap semula oleh penduduk kampung.

Mangsa cedera dihantar ke Hospital untuk rawatan lanjut.

Sebelum itu, tular video memaparkan kerbau terbabit terlepas ketika penduduk kampung sedang bergotong-royong melaksanakan ibadah korban.

Turut tular, seorang mangsa dibawa menaiki ambulans dipercayai cedera akibat dirempuh kerbau terbabit. – Info X