Search

Sambutan Aidilfitri berskala kecil tangani cabaran ekonomi – Mustapha

March 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud meminta rakyat supaya memahami rasional tindakan kerajaan tidak mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri ketika situasi ekonomi semakin tidak menentu ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) itu berkata, ia sejajar arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kementerian dan semua jabatan serta agensi kerajaan tidak mengadakan rumah terbuka.

Beliau bagaimanapun berkata, sambutan Aidilfitri berskala kecil yang tidak memerlukan perbelanjaan besar masih boleh diadakan bagi menyerikan suasana Hari Raya.

Jelasnya, tindakan kerajaan itu menekankan langkah berjimat-cermat dalam perbelanjaan, selain memberi mesej kepada rakyat mengenai perlunya langkah itu dilaksanakan pada masa ini.

“Apa yang penting kita kena berjimat cermat, itu saja. Pendekatan sekarang ialah berjimat cermat dan jika kita mahu berhari rayapun, kita buatlah berskala kecil dan rancang perbelanjaan dengan betul.

“Kerajaan mahu supaya tiada pembaziran dan kita fokus kepada yang perlu saja. Kita sebenarnya diminta untuk tidak menganjurkan sambutan, tapi kalaupun ada hanya berskala kecil.

“Arahan itu membabitkan semua agensi kerajaan dan kementerian, jadi tiada sambutan Aidilfitri dianjurkan. Kita mahu sampaikan mesej kepada rakyat bahawa kita perlu berjimat, jadi kita harap rakyat memahami tindakan itu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pembelian Baju Raya kanak-kanak B40 dan miskin dari kawasan Parlimen Sepanggar, di sini, pada Khamis.

Sementara itu, katanya kerajaan akan memastikan rakyat tidak menerima kesan teruk disebabkan perang di Asia Barat yang impaknya kini mula dirasai di seluruh dunia.

“Apa yang penting kita jangan lupa mendoakan agar kita dapat kembali pulih daripada cabaran ekonomi yang semakin menekan sekarang ini akibat krisis yang berlaku di Asia Barat.

“Kita harap situasi di kawasan itu akan semakin baik supaya kita tidak mendapat kesan berpanjangan daripada krisis peperangan di sana.

“Tapi, pada masa yang sama, Kerajaan Madani akan cuba untuk memastikan keperluan asas kita mencukupi dan kita masih juga mengekalkan harga terutama petrol dan diesel, khususnya di Sabah,” katanya.

Terdahulu, seramai 50 kanak-kanak golongan B40 dari dua sekolah dalam Parlimen Sepanggar dibawa membeli pakaian raya di sebuah kedai pakaian di Alam Mesra, di sini.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata program itu adalah inisiatif pihaknya dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan ketika membuat persiapan Aidilfitri.

“Ini adalah program tahunan kita untuk membantu anak-anak golongan B40 membeli baju raya. Pada tahun ini kita pilih Sekolah Kebangsaan (SK) Gentisan dan juga SK Pengiran Siti Hafsah Karambunai.

“Seramai 50 kanak-kanak yang terlibat, jadi kita harap dengan sumbangan kecil daripada Parlimen ini akan dapat menceriakan keluarga mereka menyambut Hari Raya dan memang kita di Parlimen Sepanggar amat prihatin dengan mana-mana golongan yang amat memerlukan,” katanya. – Info X