KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia ke-63 Peringkat Negeri Sabah 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini bermula pukul 8 malam, 16 Sept ini.
Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan Datuk Jafry Ariffin berkata program dan persediaan operasi yang dimuktamadkan telah dibentangkan semasa melakukan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
Jafry, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata sambutan berkenaan bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi juga sebagai platform penting untuk rakyat Malaysia menghargai sejarah pembentukan negara serta memperkukuh perpaduan, semangat patriotisme dan kebersamaan.
“Sabah merupakan tempat yang amat penting dalam sejarah pembentukan Malaysia. Sambutan ini sepatutnya membuatkan kita mengingati perjuangan generasi terdahulu, sambil membaharui tekad untuk terus membina sebuah negara yang aman, progresif dan bersatu padu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Musa kerana menerima kunjungan delegasi jawatankuasa dan berkongsi panduan, nasihat serta pandangan bagi memastikan acara berkenaan berjalan dengan lancar dan bermakna.
Jafry berkata persediaan untuk acara peringkat negeri itu sedang diselaraskan secara aktif melalui kerjasama pelbagai agensi melibatkan semua kementerian, jabatan kerajaan dan agensi awam yang berkaitan.
Beliau juga mempelawa seluruh rakyat Sabah untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Malaysia ke-63 itu sebagai ungkapan rasa cinta akan negeri dan negara, selaras dengan semangat Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya.– BERNAMA