Search

Sambutan Hari Sabah lebih bermakna – Hajiji

August 30, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan sambutan Hari Sabah esok lebih bermakna kerana diraikan bersama Hari Kebangsaan.

Beliau berkata tarikh 31 Ogos setiap tahun penting dan sudah berakar umbi dalam sejarah, bukan sekadar untuk mengenang dan meraikan.

Sebaliknya, beliau berkata sambutan itu untuk dihayati dalam semangat patriotisme dan menghargai keberanian serta pengorbanan besar pejuang kemerdekaan negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia di Sabah supaya istiqamah dalam menjaga kedaulatan negara.

Katanya, rakyat juga perlu terus menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah dengan penuh semangat dan rendah diri kerana kemerdekaan adalah anugerah yang tidak ternilai.

“Perkara yang menyatukan kita – keamanan, keharmonian, perpaduan dalam kepelbagaian dan aspirasi kita untuk kemajuan dan pembangunan jauh mengatasi perkara yang memecahbelahkan kita.

“Marilah sematkan dalam hati sanubari kita bahawa sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah adalah milik kita.

“Marilah kita berdiri teguh menyokong kerajaan dan tidak terpengaruh dengan perkara negatif yang mengancam untuk memecahbelahkan kita,” katanya dalam Perutusan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024.

Hajiji berkata, tema sambutan Hari Kebangsaan 2024 ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus membangunkan masyarakat yang adil dan makmur serta melambangkan kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang unsur negatif dalam mentafsir patriotisme dan cintakan negara.

Ketua Menteri turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024 kepada semua rakyat Malaysia. – Info X