TAWAU: Hancur luluh hati seorang datuk selepas wang simpanannya berjumlah RM40,000 yang disimpan lesap dipercayai dicuri oleh dua cucunya sendiri dalam kejadian di Kampung Durian, Merotai, di sini, Isnin lalu.
Kejadian mengejutkan itu terbongkar apabila mangsa berusia 60 tahun mendapati RM40,000 daripada jumlah keseluruhan simpanannya sebanyak RM60,000 yang disimpan di bawah katil, hilang kira-kira jam 7 malam.
Mangsa kemudian memaklumkan anaknya sebelum tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bombalai untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati wang itu disimpan di dalam bilik tidur mangsa sebelum disedari dicuri.
“Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau melakukan tangkapan terhadap dua remaja perempuan berusia 13 dan 15 tahun di hadapan pejabat BSJ IPD Tawau pada jam 4.45 petang, keesokan harinya.
“Kedua-dua remaja yang masih berstatus pelajar sekolah itu dipercayai cucu kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk soal siasat terhadap suspek dan pengesahan lanjut jumlah kerugian sebenar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyimpan wang tunai dalam jumlah besar di tempat yang tidak selamat bagi mengelakkan kejadian sama berulang. – Info X