LABUAN: Aksi samseng jalanan di Jalan Pohon Batu, Kampung Lajau, di sini, semalam tidak berakhir seperti diharapkan apabila seorang penunggang ‘berputih mata’ selepas motosikalnya disita dalam Operasi Motosikal (Samseng Jalanan).
Operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Labuan itu membabitkan seorang pegawai bersama lima anggota dengan tumpuan terhadap aktiviti lumba haram serta pelanggaran undang-undang jalan raya.
Sepanjang operasi, sebanyak 29 individu dan kenderaan diperiksa dalam suasana jalan yang sunyi namun sekali-sekala dipecah bunyi enjin motosikal yang mencurigakan.
Hasil pemeriksaan, lima saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu, lesen tamat tempoh, pengubahsuaian ekzos serta brek tidak berfungsi.

Dalam tindakan sama, sebuah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan berkaitan.
Tiada tangkapan dibuat sepanjang operasi, namun anggota turut mengambil kesempatan memberi nasihat serta advokasi kepada pengguna jalan raya bagi meningkatkan kesedaran dan pematuhan undang-undang.
Polis memaklumkan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan jalan raya tidak dijadikan ‘litar’ oleh golongan tidak bertanggungjawab selain menjamin keselamatan pengguna lain. – Info X