Search

Sang Badak perlukan penyerang baharu

July 26, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC perlu mendapatkan penyerang baharu bagi mengatasi ketumpulan serangan yang berlaku selepas ketiadaan Ramon Machado dan kecederaan tonggak lain.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berharap posisi itu dapat diisi apabila jendela perpindahan pemain bagi musim ini dibuka pada Ogos depan.

Katanya, penyerang baharu penting bagi memperkuatkan bahagian serangan pasukan bagi memastikan Sang Badak dapat mengekalkan prestasi sehingga ke penghujung musim.

Antara aksi pemain Sabah FC ketika berdepan NSFC di Stadium Likas. – Foto/Sabah FC.

“Kita kehilangan Ramon dan pada masa sama dua pemain utama kita mengalami kecederaan, Saddil Ramdani dan Darren Lok, ini sudah tentu menyukarkan sedikit dari segi penyudah.

“Jadi, saya harap pada musim perpindahan nanti kita mampu melakukan sesuatu, kita inginkan penyerang yang boleh membantu untuk memastikan kita berada pada tahap cukup baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Likas, malam tadi.

Dalam aksi malam tadi, Sabah berjaya menepati misi untuk memenangi perlawanan di laman sendiri dengan jaringan 2-0 selepas tewas dua kali berturut-turut sebelum ini.

Datuk Ong Kim Swee. – Foto/Sabah FC

Kim Swee berkata pasukan perlu melihat ke depan berikutan masih banyak lagi perlawanan Liga Super pada musim ini yang perlu ditempuhi.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap pemain lain yang diturunkan untuk menggalas tugas serangan pasukan agar dapat memperbaiki aspek penyudah untuk mencipta jaringan.

“Dua tiga pemain yang diturunkan seperti Muhammad Jafri Chew, Harith Naem Jaineh, S Kumaahran dan Muhammad Farhan Roslan harus membuktikan bahawa mereka bukan saja bermain dengan baik tetapi mereka juga perlu memastikan dapat memperbaiki penyudah,” katanya.

Sementara itu, mengulas keputusan perlawanan malam tadi, Kim Swee berpuas hati pasukan bimbingannya dapat melakar kemenangan dan mengelak daripada dibolosi.

“Keputusan itu seperti yang kita kehendaki dan penting untuk kita mendapatkan kemenangan ini selepas kita tewas tiga perlawanan berturut-turut, namun paling positif bagi saya ialah tidak dibolosi.

“Ini penting, kita perlu mengekalkan benteng pertahanan kita tidak dibolosi dan hari ini mereka menunjukkan satu tahap cukup tinggi, namun ada banyak lagi yang perlu kita perbaiki,” katanya. – Info X