KOTA KINABALU: Ketua Cabang PKR Keningau, Datuk Sangkar Rasam memilih Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan jawatan tertinggi parti itu kali ini.
Beliau berkata keputusan itu berpandukan ketrampilan Nurul Izzah yang disifatkan sebagai seorang ikon reformasi yang tidak pernah gentar menyuarakan kebenaran.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, berkata Nurul Izzah lantang memperjuangkan isu hak asasi manusia, kebajikan rakyat dan integriti institusi.
Katanya, perjuangan itu menjadikan suara bekas Naib Presiden PKR itu dihormati sama ada dalam PKR sendiri atau di luar parti.
“Oleh itu, saya memilih untuk menghormati proses pemilihan dengan menyokong Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan kali ini.
“Fokus utama saya kekal kepada memperkukuh KEADILAN di peringkat akar umbi dan memastikan parti terus relevan dan utuh selepas pemilihan.
“Kita boleh berbeza pendapat, tetapi jangan berpecah dalam perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Sementara itu, Sangkar berkata dua lagi nama yang disebut merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga memiliki kelebihan masing-masing dalam parti.
Katanya, kedua-dua mereka bersama Nurul Izzah bukan saja menjadi tulang belakang PKR, malah menjadi simbol harapan rakyat Malaysia.
“Saudara Rafizi Ramli bukan sekadar seorang pemimpin tetapi seorang pemikir strategik yang berani memimpin gagasan ekonomi baharu untuk Malaysia.
“Keupayaannya menganalisis dasar dan memperjuangkan ketelusan telah memberi nafas segar dalam perjuangan politik kita,” katanya.
Beliau berkata, Saifuddin pula adalah tokoh pengurusan yang cekap, penghubung yang strategik dan pemimpin berpengalaman yang sentiasa mengutamakan kestabilan serta kekuatan dalaman parti.
Katanya, ketiga-tiga tokoh itu dengan kepakaran dan latar belakang yang pelbagai adalah aset tidak ternilai bagi PKR yang mencerminkan kekuatan parti itu dari segi intelektual, integriti dan idealisme.
“Secara keseluruhannya, ketiga-tiga pemimpin ini membawa kekuatan dan kepelbagaian dalam PKR, menjadikannya lebih dinamik dan relevan dalam menghadapi cabaran politik serta sosial negara.
“Sebagai anggota yang menjunjung prinsip demokrasi dalaman parti, saya percaya bahawa setiap calon berhak menawarkan kepimpinan, dan setiap anggota berhak membuat pilihan tanpa dipengaruhi tekanan atau sentimen peribadi.
“Apatah lagi, ketiga-tiga tokoh ini mempunyai rekod, pengalaman dan sumbangan yang tersendiri kepada parti dan perjuangan reformasi,” katanya. – Info X