Search

SAR lelaki dikhuatiri lemas di Tuaran berdepan cabaran laut bergelora, angin kencang

July 14, 2024

Info X Reporters

TUARAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dikhuatiri lemas di laut Kampung Terayung Muara Dalit, di sini, berdepan cabaran susulan laut bergelora dan angin kencang sepanjang SAR, hari ini.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, operasi SAR hari kedua dimulakan pada jam 5.45 pagi dengan menggunakan kaedah surface di kawasan pesisir pantai menggunakan bot.

Katanya, ketua operasi SAR lapor pencarian di sepanjang pesisir pantai dalam jarak lapan kilometer menaiki bot bermula dari Tanjung Badak ke kawasan Kampung Gayang.

“Pasukan SAR mengalami kesukaran sepanjang operasi SAR disebabkan oleh angin kencang dan laut yang bergelora.

“Operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada jam 5.30 petang tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, SAR akan disambung semula esok pagi dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Harfy Aminudin, 35, dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan di laut bersama rakannya di Kampung Terayung Muara Dalit, semalam.

Pasukan bomba yang menerima laporan jam 10.19 malam itu segera melancarkan operasi SAR di pesisir pantai di kawasan mangsa dilaporkan hilang. – Info X