Search

SAREX ex Limbawan 2026 perkukuh kesiapsiagaan hadapi bencana maritim

July 8, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menganjurkan Search and Rescue Exercise (SAREX) Ex Limbawan 2026 bagi menguji kesiapsiagaan serta keupayaan penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dalam menghadapi bencana maritim berskala besar.

Program menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu itu berlangsung dengan kerjasama strategik PETRONAS dan PTTEP Sabah Oil Limited.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, latihan itu bertujuan menguji keberkesanan operasi SAR melalui Pelan Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) 2022, Prosedur Tetap Operasi CARILAMAT dan OMSAR Guideline bagi operasi mencari dan menyelamat di pelantar minyak.

Katanya, latihan berkenaan turut memperkukuh koordinasi, komunikasi dan kerjasama antara semua agensi selain menguji prosedur operasi standard (SOP), keupayaan aset serta kompetensi anggota mengendalikan insiden kecemasan yang membabitkan ramai mangsa.

“Latihan seperti ini amat penting bagi memastikan setiap agensi sentiasa bersedia, memahami peranan masing-masing dan mampu bertindak secara pantas, cekap serta bersepadu sekiranya berlaku insiden sebenar di laut.

“Pengalaman serta penambahbaikan hasil latihan ini akan dimanfaatkan bagi memperkukuh keupayaan operasi mencari dan menyelamat negara,” katanya.

Bercakap lanjut beliau berkata, SAREX Ex Limbawan 2026 menjadi latihan Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) pertama di Sabah yang menghimpunkan 200 peserta daripada 31 agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta rakan industri.

“Latihan berlangsung serentak di Hotel Le Meridien Kota Kinabalu sebagai Pusat Koordinasi, Jeti Maritim Sepanggar sebagai Pangkalan Operasi CARILAMAT dan perairan Kota Kinabalu sebagai lokasi simulasi operasi.

“Senario latihan membabitkan insiden di FPSO Kikeh yang sedang menjalani kerja penyelenggaraan menyeluruh.

“Ketika kerja panas dan pertukaran syif rutin dijalankan, sebuah Accommodation Work Barge (AWB) mengalami kerosakan sistem pemacu semasa proses pemindahan kru menggunakan Personnel Transfer Basket (PTB),” katanya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan AWB hilang kawalan sebelum melanggar bahagian kanan FPSO Kikeh dan mencetuskan insiden MMRO yang membabitkan 382 kru.

“Sebanyak 19 aset laut dan darat digerakkan sepanjang latihan membabitkan Maritim Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan Malaysia, PETRONAS, PTTEP Malaysia Asset serta agensi berkaitan.

“Operasi di lokasi kejadian diselaraskan KM Lahad Datu selaku On-Scene Coordinator (OSC) bagi memastikan tindakan mencari dan menyelamat berjalan secara bersepadu.

“Penghargaan turut diberikan kepada semua 31 agensi yang menjayakan SAREX Ex Limbawan 2026 melalui komitmen dan kerjasama erat dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi sebarang bencana serta kecemasan di perairan Malaysia,” katanya. – Info X