KOTA KINABALU: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan hari ini didakwa menerima suapan RM2,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap satu kes pengedaran dadah di Kudat pada 2021.
Tertuduh, Zakaria Mohd Jasni, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, Jason Juga, pada prosiding pagi tadi.
Pertuduhan ke atas pegawai polis berumur 40 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 18 Jun 2021, tertuduh didakwa secara rasuah cuba untuk memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM2,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik individu lain.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 12.20 tengah hari di sebuah premis produk makanan laut di Kudat sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas seorang individu yang terbabit dalam kes pengedaran dadah.
Ketika itu, Zakaria bertugas di Jabatan Siasatan Narkotik, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat.
Berikutan perbuatan berkenaan, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau denda RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM3,000 bersama seorang penjamin tempatan.
Tertuduh turut diperintah untuk melapor diri di Pejabat SPRM setiap dua bulan sekali dan tidak boleh mengganggu saksi, manakala pasport antarabangsa diserahkan kepada pihak mahkamah.
Tarikh pengurusan kes ditetapkan pada 4 Mac depan.
Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Norsham Saharom, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X