KOTA KINABALU: Satu kes kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan di Sabah pada minggu lalu atau Minggu Epidemiologi (ME) 50 berbanding tiada kes sepanjang minggu sebelumnya.
Menteri Penyelaras COVID-19 Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata kes kematian itu direkodkan di Kota Kinabalu, manakala seramai 139 lagi pesakit masih menerima rawatan di hospital seluruh negeri.
Berdasarkan Laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, katanya ketika ini seramai empat pesakit memerlukan penjagaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU), manakala dua orang pesakit memerlukan ventilasi.
Katanya, secara keseluruhan, kes positif COVID-19 di Sabah melonjak 356 peratus kepada 984 kes sepanjang minggu lalu, berbanding hanya 216 kes pada minggu sebelumnya.
“Semua kes yang dilaporkan membabitkan jangkitan tempatan dengan purata sebanyak 86 kes baharu setiap hari berbanding purata 19 kea sehari pada minggu lalu.
“Bilangan pesakit baharu berkaitan COVID-19 dalam rawatan juga meningkat sebanyak 55 peratus kepada 133 kes pada minggu lalu berbanding 86 kes pada minggu sebelumnya,” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19 Sabah, di sini.
Katanya, jangkitan COVID-19 mengikut daerah menunjukkan Kota Kinabalu mencatat kenaikan tertinggi sepanjang ME50 (10 Disember hingga 16 Disember) dengan 413 kes baharu berbanding 86 kes pada ME 49 (3 Disember hingga 9 Disember).
Ia disusuli daerah Penampang dengan 109 kes baharu positif COVID-19, berbanding 21 kes pada minggu sebelumnya, manakala di Tuaran meningkat kepada 100 kes berbanding 32 kes pada minggu sebelumnya.
Turut mencatat kenaikan mendadak ialah daerah Putatan dengan sebanyak 60 kes baharu pada minggu lalu, berbanding hanya satu kes dilaporkan pada minggu sebelumnya, diikuti Kota Belud sebanyak 66 kes pada minggu lalu berbanding 15 kes pada minggu sebelumnya.
Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di Sabah, kerajaan negeri menasihatkan orang ramai mengamalkan penjagaan kebersihan diri pada tahap optimum seperti kerap mencuci tangan.
“Pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan awam kepada golongan berisiko dan juga mereka yang bergejala adalah digalakkan.
“Kepada mereka yang belum mendapatkan vaksin dos primer dan dos penggalak, bagi tujuan mengurangkan risiko penularan jangkitan, anda dinasihatkan untuk berhubung dengan Klinik Kesihatan yang berdekatan.
“Bagi golongan yang berisiko, adalah disarankan untuk mendapatkan rawatan antiviral Paxovid yang boleh diperolehi di Klinik Kesihatan berdekatan,” katanya. – Info X