Search

SATU TAN SAMPAH DIKUTIP SEMPENA COASTAL CLEAN-UP WITH COMMUNITY

July 26, 2022

admin

KOTA KINABALU: Sebanyak satu tan sampah berjaya dikutip di pesisir Pantai Pusat Pembangunan Luar (ODEC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena program Coastal Clean-up with Community, baru-baru ini.

Dianjurkan AEON Credit Service dengan kerjasama Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS dan Sukarelawan Siswa UMS itu disertai seramai 120 sukarelawan.

Pengurus Kawasan Sabah AEON Credit Service, Esmond Teo Yee Seng berkata, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) merupakan acara tahunan pihaknya yang sejajar dengan falsafah syarikat AEON untuk memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan kawasan-kawasan tumpuan awam dan alam semula jadi.

“Selain Pantai ODEC UMS, dua lagi pantai yang menjadi lokasi program seumpama itu ialah Pantai Sepat (Pahang) dan Pantai Bersih (Pulau Pinang).

“Program sama juga sudah diadakan secara serentak di Pantai Morib (Selangor), Pantai Batu Layar (Johor) dan Pantai Kampung Bunta (Sarawak) pada 16 Julai lalu.

“Sasaran AEON Credit adalah untuk mengutip sebanyak 6.5 tan sampah termasuk sisa plastik, polisterin dan lain-lain sisa sampah di semua lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah PKPP, Dr Jurry Foo menzahirkan penghargaan kepada AEON Credit yang memilih Pantai ODEC, UMS sebagai salah satu lokasi pantai dalam siri program CSR mereka.

“Pantai ini menjadi tumpuan pelancong dan pelawat dari luar terutamanya pada hujung minggu yang ingin menikmati suasana matahari terbenam.

“Oleh itu, usaha ini dilihat mampu mengurangkan sampah agar orang ramai yang berkunjung ke sini berasa selesa dan gembira untuk berjalan-jalan di pantai,” katanya. – Info X