KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau enggan meletak jawatan sebagai wakil rakyat yang dipegangnya walaupun didesak berbuat demikian kerana lantang mendesak kerajaan berhubung isu 40 peratus.
Beliau turut menyifatkan desakan itu tidak dapat dilaksanakan kerana ‘bosnya’ terlalu ramai dan sukar untuknya menghantar surat jika mahu meletak jawatan kepada semua ‘bos’ yang beliau bekerja untuk mereka.
“Yang minta saya letak jawatan, saya tidak boleh letak jawatan kerana saya tidak boleh hantar surat kepada semua ‘bos’ saya,” katanya merujuk rakyat yang diwakilinya di Parlimen Tuaran sebagai ‘bos’.

Sebelum ini, seorang pemimpin PKR Sabah mendesak Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO dan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang juga Timbalan Ketua Menteri meletakkan jawatan dalam kerajaan kerana lantang mengkritik isu 40 peratus.
Madius berkata demikian pada Perhimpunan Aman Justice4Sabah Hak 40 Peratus di Padang Merdeka, di sini, pada Jumaat.
Himpunan itu yang disertai kira-kira 200 orang mewakili 19 badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik bagi menuntut kerajaan Persekutuan menunaikan hak 40 peratus Sabah.
Selain Madius, turut hadir ialah Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin; Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Mojuntin dan ADUN Dilantik, Datuk Roger Chin.
Madius perhimpunan itu sebagai permulaan usaha rakyat Sabah melalui NGO dan pemimpin tanpa mengira latar belakang politik untuk memastikan hak 40 peratus Sabah itu ditunaikan.
Katanya, rakyat Sabah sangat berharap ada keputusan positif rundingan berdasarkan perintah Mahkamah Tinggi pada Oktober tahun lalu berhubung pelaksanaan bayaran 40 peratus sebelum perkara itu ditangguhkan berikutan permohonan Kerajaan Persekutuan di Mahkamah Rayuan.
“Rundingan sepatutnya selesai pada 15 April ini tetapi ditangguh selepas kerajaan Persekutuan memohon penangguhan di Mahkamah Rayuan dan permohonan itu dibenarkan.

“Kami wakil rakyat sudah lama bersuara dan rakyat hanya dapat terjemahkan suara melalui peti undi, tapi kali ini kita mulakan dengan perhimpunan aman pada hari ini untuk meminta hak kita ditunaikan,” katanya.
Katanya, perhimpunan aman itu adalah satu usaha untuk memastikan Putrajaya melaksanakan hak 40 peratus Sabah yang sudah hampir tercapai setelah lebih 50 tahun hak perlembagaan Sabah ditidakkan.
“Mahkamah Tinggi kata hak 40 peratus itu masih wujud dan hari ini baru kerajaan Persekutuan kata mengikhtiraf hak 40 peratus itu. Ini sikap kepimpinan, kalau boleh ia ditidakkan jika kita tidak menyuarakan secara konsisiten.
“Apabila mahkamah memerintahkan kerajaan Persekutuan dan negeri berunding, barulah rundingan dibuat, tapi kini ditangguh lagi,” katanya.
Sehuhungan itu, katanya perhimpunan itu mahu supaya rundingan mengenai pelaksanaan 40 peratus diteruskan dan dihebahkan kepada rakyat Sabah setiap perkara yang sudah dirunding.
“Kita minta rundingan diteruskan dan kita minta ketelusan, hebahkan kepada rakyat apa yang telah dirunding dan apa dipersetujui dan apa lagi tidak dipersetujui supaya rakyat juga boleh bantu. Kita mahu ketelusan,” katanya. – Info x