KOTA KINABALU: “Saya tidak pernah berhenti berdoa. Setiap hari saya sebut nama anak saya, Nurjilya, minta kepada Allah supaya tunjukkan di mana dia berada. Akhirnya, Allah makbulkan doa saya… jasad anak saya ditemui.”
Demikian luahan pilu Normaida Husin, 32, ibu kepada Nurjilya Abdullah, 10, yang dipercayai menjadi mangsa bunuh selepas dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemukan pada 15 Julai lalu.
Normaida berkata, Nurjilya yang juga anak ketiga daripada lima beradik dikenali sebagai seorang anak yang baik, rajin mengaji, tidak pernah culas menunaikan solat serta penyayang terhadap adik-beradiknya.
“Arwah budak baik, dengar cakap. Dia rajin mengaji, rajin solat dan selalu bermain dengan adik-adiknya. Saya memang sayang sangat sama dia,” katanya ketika dihubung, hari ini.
Menurutnya, pada 13 Julai lalu, dia keluar bekerja seperti biasa sebagai pencuci di Wisma Merdeka sebelum pulang kira-kira jam 5 petang dan mendapati Nurjilya tiada di rumah.
“Saya terus mencari di sekitar kampung bersama ahli keluarga sehingga lewat malam, tetapi masih tidak jumpa,” katanya.
Katanya, pencarian diteruskan pada keesokan harinya sebelum dia membuat laporan polis pada 14 Julai kira-kira jam 6 petang.
“Pada 15 Julai, polis mengeluarkan hebahan orang hilang pada waktu pagi sebelum usaha pencarian diteruskan dengan bantuan polis, ahli keluarga dan penduduk kampung.
“Sepanjang tempoh itu, saya tidak putus-putus berdoa. Setiap kali berdoa, saya sebut nama Nurjilya dan minta kepada Allah supaya temukan anak saya.
“Alhamdulillah, akhirnya Allah makbulkan doa saya. Kira-kira jam 10.30 malam, jasad Nurjilya ditemui,” katanya sambil menahan sebak.
Normaida berkata, dia tidak mengenali rapat dua individu yang ditahan bagi membantu siasatan, namun mengetahui mereka tinggal di kawasan kampung yang sama.
“Saya cuma mahu keadilan ditegakkan. Apa yang berlaku kepada anak saya amat menyedihkan dan saya berharap mereka yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal,” katanya.
Terdahulu, misteri kehilangan Nurjilya sejak 13 Julai berakhir dengan tragedi apabila mayatnya ditemukan di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar, kira-kira 10.30 malam, 15 Julai.
Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan sudah mereput sehingga bahagian kepala dan muka tidak lagi dapat dicam.
Bagaimanapun, pengecaman dibuat oleh ibunya berdasarkan pakaian yang dipakai Nurjilya ketika dilaporkan hilang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian dipercayai akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki disebabkan hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.
Susulan siasatan, polis menahan dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun bagi membantu siasatan.
Motif kejadian masih disiasat dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Info X