Search

SDB penting bantu rancakkan ekonomi, wujudkan peluang kerja – Masidi

February 2, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Development Berhad (SDB) memainkan peranan yang penting dalam menyokong usaha kerajaan negeri melalui pelaksanaan projek berimpak ekonomi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pada masa yang sama, syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) itu juga berperanan dalam membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“SDB berperanan penting dalam menyokong usaha kerajaan negeri melalui pelaksanaan projek yang bukan saja berimpak ekonomi, malah berupaya membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan mewujudkan peluang pekerjaan, khususnya kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat pengurusan SDB yang diketuai pengerusi baharunya, Datuk Dr Yusof Yacob pada Isnin.

Pada pertemuan itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri turut menekankan kepentingan tanggungjawab institusi dan keperluan membina asas pengurusan serta perancangan yang kukuh bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan, berdaya tahan dan memberi manfaat jangka panjang kepada negeri.

Selain itu, pertemuan berkenaan turut membincangkan hala tuju strategik dan peluang kerjasama merangkumi sektor pelaburan, pembangunan hartanah dan inisiatif ekonomi strategik yang sejajar dengan agenda pembangunan negeri.

Sementara itu, SDB menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab secara berintegriti dan profesional, serta memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pembangunan ekonomi berteraskan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Pertemuan itu diadakan sebagai platform strategik untuk SDB memperkukuh kerjasama di antara kerajaan negeri dan syarikat berkenaan.

Selain pengurusan SDB, Masidi turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Koperasi Kakitangan Kerajaan Negeri Sabah Berhad (KOPEKS), Datuk Dr Saat Ag Damit dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Buvil Angkui bersama rombongan.

Pada pertemuan itu, Masidi memberi cadangan strategik kepada KOPEKS bagi memperkukuhkan usaha koperasi menjana pendapatan dan meningkatkan keberkesanan operasi.

Beliau menekankan agar koperasi terus memanfaatkan peluang perniagaan sedia ada dan berinovasi dalam aktiviti ekonomi bagi memastikan kesejahteraan ahli serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah. – Info X