Search

SEDCO, PETRONAS meterai perjanjian pajakan tanah untuk sektor minyak dan gas

October 14, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerjasama dua hala di antara Kumpulan SEDCO dan PETRONAS di bawah perjanjian pajakan tanah dengan nilai keseluruhan RM200 juta dalam tempoh 30 tahun bakal mencetuskan lonjakan besar dalam sektor minyak dan gas di Sabah.

Pengerusi Kumpulan SEDCO, Datuk Masiung Banah berkata, pemeteraian perjanjian pajakan tanah Kumpulan SEDCO dan PETRONAS itu adalah langkah transformasi ekonomi berterusan kerajaan negeri untuk tempoh jangka panjang.

Katanya, langkah baharu itu sebagai usahasama strategik memperkukuh ekosistem Sabah dan Sarawak, sekali gus meletakkan SEDCO dan PETRONAS sebagai pemain utama dalam industri domestik.

“Kontrak kerjasama ini dijangka menjana RM100 juta dalam tempoh dua tahun sehingga pertengahan 2028 dengan menyasarkan pulangan RM20 juta dividen dan pinjaman kepada kerajaan negeri yang mula disalurkan tahun ini.

“Pemeteraian perjanjian pajakan tanah ini asalah pencapaian komersial dua hala di antara PETRONAS dan SEDCO bagi menyokong pembangunan infrastruktur industri minyak dan gas di tanah besar Borneo merangkumi Sabah dan Sarawak, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pemeteraian perjanjian SEDCO dan PETRONAS yang disaksikan Timbalan Ketua Menteri selaku Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick selaku wakil Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, pada Rabu.

Perjanjian itu melibatkan pajakan 32.2 hektar tanah untuk operasi dua agensi kerajaan negeri iaitu Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) di Kimanis dan 260 hektar tanah sepanjang koridor jajaran saluran paip gas, Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) dari Kimanis ke Sipitang.

Masiung berkata, kolaborasi kedua-dua agensi itu bermula sejak 1997 dan hubungan kerjasama itu telah menyokong pelbagai projek infrastruktur dan utiliti di negeri ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfian dan Naib Presiden Kanan PETRONAS, Datuk Ir Bacho Pilong.

Pengurus Besar Kanan Integrated Hydrocarbon Malaysia Management, Ziaril Faiz Zakaria, mewakili PETRONAS bagi menandatangani perjanjian, manakala SEDCO diwakili Pengurus Besarnya, Datuk Ar James Wong. – Info X