Search

SEGERA WUJUD PUSAT PANGGILAN KECEMASAN SABAH SENDIRI

May 9, 2022

admin

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) mengulangi gesaannya kepada kerajaan agar menubuhkan pusat panggilan kecemasan sendiri untuk Sabah bagi memastikan respon lebih pantas dalam berdepan situasi kecemasan.

Naib presidennya, Gee Tien Siong berkata, pada masa ini, panggilan ke Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 dari Sabah Sabah akan disambungkan terus ke Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Sabah.

“Ini adalah situasi yang tidak masuk akal seolah-olah nyawa orang Sabah tidak penting,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gee berkata, kes Lew Kok Fai, 54, yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kolombong, baru-baru ini, boleh diselamatkan jika tidak kerana kelewatan bantuan berikutan maklum balas yang perlahan daripada pusat panggilan di Kuala Lumpur.

“Masa yang kritikal dan penting telah dibazirkan mengakibatkan kehilangan satu nyawa.

“Sebelum ini, timbalan presiden SAPP Edward Dagul telah membuat saranan pada Sep tahun lalu untuk menghentikan panggilan kecemasan yang melencong ke Kuala Lumpur yang sangat tidak praktikal dan perlahan.

“Nyawa empat sekeluarga yang mati hangus di Taman Hungab Penampang ketika itu boleh dielakkan jika tidak kerana salah komunikasi dan minit atau saat berharga yang hilang dalam menangani MERS 999 yang berpangkalan di Kuala Lumpur,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata adalah perlu bagi kerajaan Sabah menubuhkan pusat panggilan kecemasan sendiri untuk menangani kecemasan bagi mengelakkan kelewatan maklum balas, kekeliruan dan salah komunikasi.

“Janganlah kita biarkan kehilangan nyawa berulang lagi disebabkan ketidakcekapan sistem.

“Jika pihak berkuasa gagal mengutamakan kehidupan rakyat di Sabah, SAPP akan mengambil tindakan politik dan tindakan undang-undang selanjutnya untuk memaksa pihak berkuasa mempunyai pusat panggilan kecemasan tempatan yang cekap untuk rakyat di Sabah dan dikendalikan oleh orang Sabah yang biasa dengan lokasi geografi tempatan,” katanya. – Info X