Search

SEGERAKAN PEMBINAAN SEMULA KLINIK KESIHATAN MANSIAT – SHAHELMEY

June 16, 2022

admin

KENINGAU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya menyatakan pembinaan semula Klinik Kesihatan Mansiat di daerah ini perlu disegerakan bagi memastikan rutin perkhidmatan kesihatan berjalan lancar.

“Saya difahamkan operasi Klinik Kesihatan Mansiat masih dijalankan melalui klinik bergerak dan dewan masyarakat sebagai fasiliti alternatif untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada orang awam.

“Saya menggesa kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi perhatian dan mengambil tindakan segera bagi tujuan pembinaan semula Klinik Kesihatan Mansiat.

“Ia bagi memastikan penduduk di sekitar kawasan terbabit masih akan mendapat perkhidmatan kesihatan dalam keadaan lengkap dan selesa” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika ditemu media selepas merasmikan Program Prihatin Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat daerah Keningau di Dewan Taman Kali, di sini, hari ini.


Terdahulu, Klinik Kesihatan Mansiat, Jalan Tulid, Sook berkenaan musnah dalam kebakaran pada Selasa lalu.

Sementara itu, , Shahelmey dalam perkembangan berasingan memaklumkan kementeriannya sentiasa berusaha dalam menambahbaik perkhidmatan dalam usaha membantu masyarakat.

Beliau berkata, semua pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan terutamanya dalam pengemaskinian data di kawasan masing-masing.

“Saya mengambil kesempatan untuk turun ke daerah Keningau dan Nabawan hari ini untuk melihat sendiri keadaan masyarakat kita.

“Kita juga melihat menerusi hasil kerja Jabatan Kebajikan di daerah ini untuk memahami peluang-peluang penambahbaikkan dalam perkhidmatan berkaitan kebajikan kepada rakyat di negeri Sabah,” katanya. – Info X