Search

Sejam pujuk lelaki cuba terjun bangunan di QEH

November 22, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Cubaan seorang lelaki untuk terjun dari bumbung tingkat 11 digagalkan selepas berjaya dipujuk lebih sejam dalam kejadian di Hospital Queen Elizabeth I (QEH I) di sini, malam tadi.

Kejadian itu disedari oleh pengawal keselamatan ketika menjalankan rondaan sebelum bertindak menghubungi talian kecemasan 999, jam 9.13 malam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.

Anggota bomba memujuk lelaki yang cuba terjun dari bumbung tingkat bangunan. – Foto/Bomba

Katanya, sebaik tiba di lokasi didapati seorang lelaki disyaki cuba terjun dari bumbung bangunan hospital di tingkat 11.

“Pasukan bomba dan pengawal keselamatan hospital mengambil masa lebih sejam bagi memujuk lelaki berusia 43 tahun berkenaan.

“Lelaki terbabit berjaya dibawa turun dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada 10.30 malam. – Info X