Search

Selepas 4 hari, 2 lelaki hilang ketika memburu masih gagal dikesan

July 2, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Dua lelaki termasuk seorang kanak-kanak yang hilang ketika melakukan aktiviti memburu di hutan berhampiran ladang Usahawan Borneo Brumas, di sini, masih belum ditemukan.

Pencarian masih menemui jalan buntu selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan tidak menunjukkan sebarang petunjuk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, usaha mencari mangsa yang berumur 33 dan 11 tahun itu masih diteruskan.

Katanya, seramai enam anggota dan pegawai bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih berusaha menjalankan SAR di sekitar hutan berkenaan.

Operasi SAR mangsa dijalankan pasukan penyelamat di kawasan ladang berkenaan. – Foto/Bomba

“Setakat empat hari SAR dilaksanakan, kita masih belum menemukan sebarang petunjuk keberadaan semua mangsa terbabit.

“Kita akan meluaskan lokasi pencarian di sekitar kawasan hutan tersebut dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Terdahulu, mangsa keluar berburu secara berkumpulan seramai lapan orang di hutan berhampiran ladang berkenaan pada 24 Jun lalu.

Bagaimanapun, mereka berpecah dalam beberapa kumpulan ketika berada di dalam hutan, sebelum mangsa disedari hilang.

Usaha mencari mangsa telah dilakukan oleh rakannya, namun masih belum ditemukan sebelum laporan dibuat pada 29 Jun lalu. – Info X