Search

Seleweng peruntukan RM2 juta bina dewan, presiden NGO ditahan SPRM

July 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki menyalahgunakan kuasa berkaitan peruntukan kira-kira RM2 juta bagi pembinaan sebuah dewan kebudayaan dan galeri di negeri ini.

Suspek lelaki berusia lingkungan 60-an ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2022 membabitkan peruntukan yang diperoleh daripada Kementerian Kewangan bagi tujuan pembinaan dewan berkenaan.

“Suspek dipercayai mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri pembinaan dewan kebudayaan dan galeri itu tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan transaksi dan perkara berkaitan penggunaan peruntukan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

Menurutnya, suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Khamis ini. – Info X