Search

Selisih faham di tempat kerja, lelaki ditahan ugut rakan sekerja

September 8, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Perselisihan faham berkaitan urusan kerja dipercayai menjadi punca seorang wanita diugut rakan sekerjanya di sebuah pusat fisioterapi di Jalan Kabota, di sini semalam.

Susulan laporan dibuat mangsa berusia 20 tahun, polis menahan lelaki berusia 32 tahun itu di tepi jalan berhampiran Taman Perindustrian Leeka, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

“Suspek dipercayai mengugut mangsa susulan perselisihan faham berkaitan urusan di tempat kerja.

“Suspek akan disoal siasat lanjut bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendiri sekiranya berdepan perselisihan atau ancaman, sebaliknya membuat laporan kepada pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut undang-undang. – info X