TAWAU: Seramai 13 individu ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan minyak diesel melibatkan rampasan sebanyak 97,500 liter dalam beberapa serbuan di daerah ini, semalam.
Semua suspek terbabit ditahan dalam serbuan yang dilaksanakan oleh sepasukan Unit Gempur Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Unit Risikan Marin (URM), kira-kira jam 3.30 petang.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat risikan mengenai kegiatan itu di sekitar daerah Tawau.
Katanya, hasil serbuan yang dijalankan berjaya mengesan dan menahan seramai 13 lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak diesel bersubsidi.
“Pasukan serbuan turut berjaya merampas sebanyak 12 buah kenderaan dan 97,500 liter minyak diesel disyaki cuba diseludup keluar.
“Nilai keseluruhan rampasan berkenaan dianggarkan sebanyak RM1,306,100 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Nazri berkata, tangkapan dan rampasan berkenaan berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di daerah ini.
“PPM mengalu-alukan maklumat daripada orang awam dalam usaha membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya. – Info X