KOTA KINABALU: Tindakan pantas pemandu dan penumpang sebuah kereta pacuan empat roda merebahkan tempat duduk menyelamatkan mereka daripada mengalami kecederaan serius apabila sebatang pokok tumbang menghempap bumbung kereta mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi tadi, di Batu 2, Jalan Tuaran itu, mangsa bagaimanapun dilaporkan tersepit sebelum berjaya keluar dari kenderaan.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, Lt Kol (PA) Erwin @ Elverowen Kinsui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.25 pagi.
Katanya, hasil siasatan awal, kenderaan yang dinaiki dua mangsa dipercayai bergerak dari arah pusat bandar menuju ke Likas dalam keadaan cuaca hujan lebat dan angin kencang.
“Sebaik tiba di lokasi, pemandu kenderaan jenis Ford Ranger terbabit menyedari sebatang pokok di tepi jalan akan tumbang.
“Mangsa yang sukar mengelak terpaksa membaringkan kerusinya sebelum kenderaannya dihempap pokok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Erwin berkata, kedua-dua mangsa berusia 62 tahun terbabit dilaporkan terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya lagi, semalam hingga tengah hari ini, sebanyak 47 kes pokok tumbang dilaporkan di kawasan Pantai Barat dan Pantai Barat Utara Sabah.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya yang menerima laporan turut hadir membantu di lokasi kejadian,
Katanya, pasukan Bomba bertindak memotong dan mengalihkan pokok tumbang menggunakan peralatan khas gergaji berantai.
“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.07 petang,” katanya. – Info X