KOTA KINABALU: Pendirian Kerajaan Negeri mengenai hak 40 peratus hasil Sabah dan penambahan nisbah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak seharusnya mendapat sokongan pelbagai pihak tanpa mengira batas politik.
Pengerusi Backbencers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata agenda nasional itu tidak sepatutnya dijadikan bahan politik kerana ia terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sebagai ketua kerajaan Sabah tetap mempertahan hak rakyat pada mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 September lalu.
Pada mesyuarat itu, katanya Hajiji bertegas tidak mahu Kerajaan Persekutuan melengahkan tuntutan hasil 40 peratus Sabah, selain menambah nisbah kerusi Parlimen di Sabah.
Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut mengalu-alukan persetujuan Anwar meminda Perlembagaan untuk membuka ruang penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
“Rakyat Sabah sudah lama menunggu kedua-dua perkara dalam MA63 itu dilaksanakan kerana pihak pembangkang juga turut mendapat menfaat.
“Penambahan kerusi itu perlu bagi memastikan nisbah perwakilan wilayah Borneo lebih tinggi dalam Dewan Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau bertegas, Hajiji wajar disokong keseluruhan rakyat supaya Sabah dan Sarawak secara kolektif memegang sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat.
Langkah itu, katanya penting untuk mengembalikan kuasa asal Sabah ketika pembentukan Malaysia lebih 60 tahun yang lalu.
Ketika ini, katanya Sabah hanya mempunyai 25 kerusi Parlimen, manakala 31 di Sarawak daripada 222 jumlah kerusi Parlimen di seluruh negara.
ADUN Kuamut itu menegaskan, RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini adalah geran khas interim dan bukannya penyelesaian terhadap hak 40 peratus.
“Sebab itulah Hajiji mendesak Persekutuan menyegerakan pelaksanaan 40 peratus hasil Sabah menerusi rundingan,” katanya.
Masiung berkata, rundingan diplomasi jauh lebih berkesan berbanding pendekatan konfrontasi yang boleh menjejaskan hubungan dua hala antara Sabah dan Putrajaya.-Info X