KINABATANGAN: Seorang lelaki hilang manakala tiga rakannya terselamat selepas bot dinaiki mereka karam di sungai berhampiran Ladang Temenggong, di sini, hari ini.
Difahamkan, tiga mangsa berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi lelaki dikenali sebagai Adzly Kassim, 46, dilaporkan masih hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Penolong Penguasa Bomba, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Kinabatangan mengenai kejadian itu pada jam 11.49 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bersama penduduk kampung menggunakan bot bagi melakukan pencarian di permukaan sungai (surface searching) dalam radius sekitar kawasan bot karam.
“Mangsa masih belum ditemui sehingga jam 5.30 petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, operasi ditangguhkan dan akan disambung semula pagi esok.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Operasi turut disertai anggota polis dan kira-kira 20 penduduk kampung. – Info X