Search

Seorang lagi ADUN Warisan keluar parti, sertai Gagasan Rakyat

March 4, 2023

admin

KOTA KINABALU: Warisan kehilangan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas George Hiew Vun Zin mengumumkan keluar dari parti itu untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Menerusi satu kenyataan hari ini, George yang juga ADUN Kamunting berkata, beliau membuat keputusan itu kerana rakyat sudah tidak mahu melihat keadaan politik yang tidak stabil.

Katanya situasi politik tidak menentu menyebabkan perkembangan ekonomi dan kemajuan Sabah terbantut, termasuk di kawasan Karamunting, Sandakan.

“Rakyat sudah penat dengan kemelut politik di Sabah. Hanya dengan kestabilan politik yang utuh kita boleh membawa pembangunan dan perubahan, khususnya di Karamunting yang masih dahagakan pelbagai pembaharuan dan pembangunan.

“Demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan Karamunting, saya membuat keputusan untuk menyokong kepemimpinan Jerajaan Perpaduan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan negeri Sabah di bawah kepemimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.

George memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting atas tiket WARISAN pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.

Beliau pernah menjadi Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika di bawah kerajaan WARISAN selama dua tahun.

Katanya, beliau berterima kasih kepada Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atas peluang yang diberikan kepadanya dalam arena politik.

“Namun, sekarang adalah masa untuk memberikan sepenuh tumpuan dan perhatian untuk menyatupadukan rakyat Sabah, membangunkan Sabah dan menuntut hak-hak kita yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya akan menyumbangkan segala tenaga dan masa saya untuk bekerja dan memastikan kebajikan rakyat di kawasan saya akan terus terjaga, di samping membawa pembangunan yang diperlukan di Karamunting,” katanya.

George adalah ADUN kelima keluar WARISAN sejak bulan lalu serta ke-11 selepas PRN Sabah 2020.

Empat yang keluar WARISAN bulan lalu ialah Norazlinah Arif (Kunak), Mohamad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) dan Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas).

Berikutan perkembangan terbaru itu, WARISAN kini hanya memiliki 14 ADUN termasuk dua bekas ADUN DAP daripada 23 ADUN selepas PRN 2020. – Info X