PUTATAN: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sabindo, Jalan Kota Kinabalu – Papar di sini, awal pagi tadi, disahkan meninggal dunia.
Mangsa lelaki berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi tadi, ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati kejadian membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun bersama seorang penumpang wanita berumur 27 tahun.
Menurutnya, sebuah lagi kenderaan iaitu Proton Iswara dipandu lelaki tempatan bersama empat penumpang berusia antara 17 hingga 21 tahun turut terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, seorang penumpang Proton Iswara berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Manakala, mangsa berusia 17 tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemandu Proton Iswara dan beberapa penumpang lain mengalami kecederaan parah serta masih menerima rawatan di hospital.
“Pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan serius dan penumpangnya turut mendapatkan rawatan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak memandu secara berbahaya demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Penampang atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133,” katanya. – Info X