Search

Seorang maut, 2 cedera kenderaan terbabas masuk gaung

July 20, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang maut manakala dua cedera termasuk seorang parah selepas kenderaan dinaiki terbabas masuk ke dalam gaung di Jalan Kampung Kiapad, Kionsom, Inanam, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.35 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia iaitu penumpang hadapan kenderaan Land Cruiser, Omar Mahilin, 39 manakala pemandu lelaki berusia 29 tahun cedera parah.

Penumpang belakang wanita berusia 42 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati kenderaan dinaiki mangsa bersama dua lagi rakannya dari arah Kampung Kiapad menuju ke Pekan Inanam.

“Ketika menuruni bukit, tiba-tiba kenderaan telah hilang kawalan lalu terbabas jatuh ke dalam gaung di sebelah kanan jalan.

“Kenderaan itu telah berguling beberapa kali sejauh hampir 80 meter ke bawah hingga menyebabkan pemandu dan penumpang belakang masing-masing tercampak keluar daripada kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, akibat daripada kemalangan itu, penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor dari Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas.

“Pemandu parah patah bahu kiri dan sedang menerima rawatan di Zon Kunimg Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) manakala wanita terbabit hanya cedera ringan.

“Kenderaan masih belum dapat ditunda naik dari lokasi kejadian disebabkan cuaca pada masa kejadian sangat gelap dan hujan lebat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Operasi mengeluarkan mangsa yang berada dalam kenderaan ketika kejadian dijalankan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas. – Info X