Search

Seorang maut, seorang parah selepas kereta terbabas, terbakar

October 17, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di bulatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, pemandu lelaki berusia lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang lelaki sebaya ditemukan tidak sedarkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.21 pagi sebelum lapan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta jenis Proton Persona terbabas sendiri sebelum terbakar dengan dua lelaki berada di dalam kenderaan berkenaan.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa menggunakan peralatan khas menyelamat.

“Bagaimanapun, pemandu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala penumpang yang tidak sedarkan diri diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS),” katanya.

Menurutnya, penumpang yang parah kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

“Operasi berjaya dikawal pada jam 4.40 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya enam minit kemudian,” katanya. – Info X