KOTA KINABALU: Jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir yang melanda daerah Tenom dan Beaufort kini seramai 1,958 orang, setakat jam 8 pagi ini.
Menurut jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), jumlah mangsa di Tenom ialah seramai 1,608 orang membabitkan 638 keluarga manakala di Beaufort seramai 350 orang membabit 95 keluarga.
Katanya, sebanyak 17 PPS dibuka setakat ini iaitu 15 di Tenom dan dua lagi di Beaufort.
PPS yang dibuka di Tenom ialah di Pusat Kebudayaan Mandalom Lama yang menempatkan 164 mangsa; Rumah Kebudayaan Ponontomon (209); Dewan Mini Jinuim Jimin (139); SK Mandalom (97); Dewan Labut 2 (134); Dewan Masyarakat Sri Antenom (103); Rumah Kebudayaan Batu-Batu (123); Rumah Kebudayaan Pantagon Saga (47); Rumah Kebudayaan Maugus (231); Rumah Kebudayaan Anggalor (91); Dewan Kampung Kalang Kanar (24); Rumah Kebudayaan Kalasasan (77); Dewan Terbuka Kampung Saga (22); Rumah Kebudayaan Makakagas (55); dan Rumah Kebudayaan Belumbung Kemabong (92).
Sementara itu, dua PPS yang dibuka di Beaufort ialah di Dewan Selagon yang menempatkan 218 mangsa dan Dewan DSP Dun Banir yang kini dihuni 132 mangsa. – Info X