KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SES) bersedia berhadapan dengan situasi di mana margin simpanan tenaga menjadi rendah dan memastikan kestabilan bekalan elektrik kepada pengguna.
Kapasiti margin simpanan tenaga pada ketika ini hanya 12 peratus sahaja dan keadaan ini boleh memberi risiko kepada kestabilan Grid Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, beberapa langkah telah diambil untuk meningkatkan margin simpanan tenaga sehingga 80 MegaWatt (MW).
Katanya, ia termasuklah menambah kapasiti penjanaan di stesen janakuasa di Tawau, Sandakan dan Labuan yang boleh menjana tenaga elektrik tambahan sehingga 50MW.
Selain itu, katanya, pada waktu beban puncak, SESB akan melaksanakan ‘Demand Side Management’ (DSM) iaitu pengguna-pengguna kuasa besar (LPC) di Sabah akan membantu menggunakanset generatornya sendiri dan ini membolehkan Grid menyalurkan 30MW kepada pengguna-pengguna yang lain.
“SESB yakin langkah-langkah ini akan dapat mengurangkan tekanan kepada Sistem Grid dan seterusnya mengelakkan daripada perlaksanaan catuan bekalan kepada pengguna,” katanya. – Info X