Search

SESB : JANGAN CEROBOH KAWASAN PENCAWANG

February 3, 2023

admin

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengingatkan orang awam di negeri ini agar tidak melakukan sebarang aktiviti berdekatan kawasan pencawang elektrik serta menara elektrik yang mempunyai potensi risiko renjatan elektrik.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset), Ir Idris Mohd Noor berkata, sebarang aktiviti yang dilakukan di bawah atau berdekatan talian penghantaran elektrik bervoltan tinggi adalah amat merbahaya.

“Semua pencawang dan menara talian penghantaran elektrik merupakan kawasan yang berisiko terkena renjatan elektrik.

“Semua aktiviti yang dilakukan berhampiran  kawasan itu boleh mengundang risiko sekiranya individu mengabaikan faktor keselamatan,” katanya  dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Idris berkata demikian bagi menjawab  klip video Tik Tok yang viral mengenai  perkuburan di bawah menara talian penghantaran elektrik SESB.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan tindakan mengorek lubang di bawah menara penghantaran elektrik milik SESB adalah satu pencerobohan dan boleh menjejaskan kestabilan menara berkenaan.

“Antara aktiviti lain yang berisiko tinggi mengundang renjatan elektrik termasuklah memancing di kawasan kolam atau tasik di bawah talian, bermain layang-layang atau kapal terbang model kawalan jauh berhampiran talian penghantaran elektrik, kegiatan curi atau penyambungan bekalan elektrik secara haram dan juga menggunakan tanah di bawah talian penghantaran elektrik untuk tujuan padang permainan, sukan ataupun berkaitan pasar awam.

“Aktiviti seumpama itu boleh mencetuskan renjatan elektrik dan percikan arka (flashover) yang mengundang bahaya, berisiko tinggi, merosakkan harta benda malahan boleh maragut nyawa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, SESB terus aktif mempergiatkan program kesedaran tentang keselamatan elektrik dengan menghebahkan langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil di media sosial, akhbar dan radio supaya tahap kesedaran awam semakin meningkat.

Sehubungan itu, SESB memohon agar semua pihak mendapatkan  kebenaran dan nasihat daripada pihak SESB tentang keperluan yang perlu dipatuhi sebelum sebarang aktiviti ingin dilakukan berdekatan dengan pepasangan elektrik milik SESB. – Info X