Search

SESB siasat dakwaan bil penduduk kampung cecah ribuan ringgit

September 13, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) hari ini membuat laporan polis berhubung isu bil elektrik yang didakwa terlalu tinggi diterima pengguna di tiga kampung di Kota Belud, baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, pihaknya memandang serius isu yang membabitkan penduduk Kampung Kulambai, Kampung Kuala Abai dan Kampung Kulambai Dundau itu.

Katanya, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan berikutan kemungkinan wujud salah laku dan perbuatan melanggar undang-undang oleh pihak tertentu.

Beliau berkata, SESB juga dalam proses mengambil tindakan undang-undang dan menyerahkan sepenuhnya siasatan lanjut kepada pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar.

“Pada masa yang sama, SESB sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan memastikan ia tidak berulang.

“SESB turut mempertimbangkan untuk membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya wujud elemen rasuah berhubung perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, SESB tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak termasuk pekerjanya sendiri jika didapati ada terbabit dalam perbuatan salah guna kuasa yang membawa kepada ketirisan bekalan elektrik dan membebankan pelanggan.

Katanya, SESB sentiasa mengutamakan kepentingan pelanggan dengan menjamin bekalan elektrik yang berkualiti dan dikenakan bil sewajarnya.

“SESB juga mengalu-alukan orang ramai memberikan maklumat dan maklum balas bagi meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan elektrik selari dengan dasar SESB dan kerajaan,” katanya.

Penduduk di tiga kampung terbabit sebelum ini dilaporkan turut membuat laporan polis selepas menerima bil elektrik yang disifatkan tidak munasabah kerana mencecah ribuan, malah puluhan ribu ringgit berbanding kebiasaannya hanya ratusan ringgit atau kurang.

Dalam isu yang sama, Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan, berkata pihaknya turut menerima aduan daripada orang ramai yang menjadi ‘mangsa’ bil elektrik terlalu tinggi, khususnya golongan B40.

Berikutan itu, beliau berharap SESB mengambil langkah drastik menangani isu itu dengan segera dan mengenal pasti masalah yang berlaku agar tidak berulang.

“Rakyat tentu marah dan kecewa apabila menerima bil yang terlalu tinggi, ditambah lagi kos sara hidup hari ini yang semakin meningkat dan membebankan,” katanya. – Info X