Search

Sesi libat urus pemurnian data miskin tegar bersama ADUN bukan kerajaan

November 28, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan dan tiga wakil ADUN, masing-masing mewakili UMNO dan Warisan menghadiri Sesi Libat Urus Pemurnian Data Miskin Tegar Negeri Sabah Fasa 2.0 Bersama ADUN Siri 1, di sini, hari ini.

Program anjuran Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) itu khusus untuk ADUN bukan kerajaan susulan arahan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-16, baru-baru ini.

Dua ADUN Warisan yang hadir ialah ADUN Tungku, Assaffal @ Samsul Kamal P Alian dan ADUN Bongawan, Dr Daud Yusof, manakala seorang wakil ADUN Warisan iaitu DUN Darau dan dua wakil ADUN UMNO, iaitu DUN Sungai Manila dan Sukau.

Datu Rosmadi bersama Assaffal (kiri) dan Dr Daud (kanan) pada Sesi Libat Urus Pemurnian Data Miskin Tegar Negeri Sabah Fasa 2.0 di Kota Kinabalu.

Sesi libat urus itu dikendalikan Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat SMJ, Datuk Datu Rosmadi Sulai yang menyampaikan perutusan dan pembentangan pengenalan Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah.

Rosmadi berkata, kerajaan negeri komited merealisasikan agenda untuk menoktahkan kemiskinan di Sabah dan beliau memohon bantuan serta kerjasama ADUN untuk mengenal pasti senarai rakyat termiskin dan miskin tegar di kawasan masing-masing.

Katanya, sesi libat urus itu penting bagi mendapatkan input dan cadangan daripada semua, terutama ADUN bukan kerajaan dalam usaha menambah senarai nama Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) yang tercicir dari Sistem e-Kasih di kawasan DUN masing-masing ke dalam Sistem Pangkalan Data Kemiskinan Negeri Sabah (PADANS).

“Sesi libat urus ini mencerminkan keterbukaan dan komitmen pimpinan kerajaan pada waktu ini untuk membasmi kemiskinan tegar di Sabah.

“Ketua Menteri telah menegaskan bahawa usaha menoktahkan kemiskinan tegar tidak seharusnya dibatasi agama, bangsa atau fahaman politik,” katanya.

Datu Rosmadi menyampaikan taklimat mengenai isu kemiskinan tegar di Sabah kepada ADUN dan wakil ADUN.

Sempena Sesi Libat Urus Pemurnian Data Miskin Tegar Negeri Sabah itu, ADUN dan wakil mereka turut didedahkan dengan Sistem PADANS dan tatacara permohonan pendaftaran sistem itu bagi tujuan intervensi bantuan kelak.

Turut hadir pada sesi libat urus itu ialah Pengarah Sekretariat SMJ, Rosnih Othman dan pegawai-pegawai lain. – Info X