KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan pembukaan kampus Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pantai Timur Sabah, dengan Semporna sebagai pusat kecemerlangan keselamatan maritim.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, walaupun UPNM di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), tapi lapan daripada 10 pelajar yang diambilnya ialah kadet tajaan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
“Jadi MINDEF mesti menyokong cadangan ini. Mulakan dengan pusat pengajian menggunakan fasiliti sedia ada dan bina kampus penuh dalam RMKe-13.
“Adakah MINDEF bersedia menyokong secara rasmi, menyediakan tanah atau fasiliti kem di bawah P.60 00700 dan
menetapkan kuota kadet untuk anak Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 Peringkat Jawatankuasa, Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Rabu.
Shafie turut membangkitkan mengenai ketiadaan peruntukan penyelidikan pertahanan disalurkan kepada universiti di Sabah dan Sarawak.
Katanya, peruntukan penyelidikan pertahanan naik daripada RM1.99 juta kepada RM65.04 juta pada tahun depan, namun perjanjian penyelidikan di DSA 2026 hanya melibatkan UPNM, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
“Tiada satupun universiti di Borneo. Saya mohon sebahagian peruntukan ini disalurkan kepada sebuah Pusat Penyelidikan Pertahanan Borneo di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama STRIDE, dalam bidang kesedaran domain maritim, dron dan bot tanpa pemandu untuk ESSZONE, radar pantai, serta latihan juruteknik penyelenggaraan,” katanya.
Selain itu, Shafie turut meminta penjelasan berhubung penggantian radar pengawasan di ESSZONE yang rosak.
Katanya, Kementerian Pertahanan pada 2023 mengakui lima radar pesisir di ESSZONE rosak, tidak ekonomi untuk dibaiki dan sudah dilupuskan.
Namun, katanya enam radar gantian bernilai RM57 juta hanya dirancang salam RMKe-13, manakala radar AI KDN untuk Kudat hanya pada 2028.
“Sementara itu, tangkapan pendatang tanpa izin di Kudat naik 79.4 peratus. Namun peruntukan Menangani Keusangan Sistem di bawah B.60 030500 kekal RM25 juta.
“Saya mohon jawapan. Apakah status enam radar ini, dan adakah ia telah diluluskan dalam Rolling Plan Pertama RMKe-13? Adakah ia akan dibina dan diselenggara oleh syarikat serta universiti Sabah di bawah DIPN?
“Dan apakah langkah interim untuk menutup jurang pengawasan di Kudat, Banggi dan pantai timur,” katanya.
Bekas Ketua Menteri itu turut mencadangkan supaya Kementerian Pertahanan mewujudkan Hab Penyelenggaraan Maritim Borneo di koridor Sepanggar-Labuan, menyediakan kuota wilayah untuk Sabah dan Sarawak dalam DIPN (Dasar Industri Pertahanan Negara) dan melaksanakan Program Pembangunan Vendor Pertahanan Sabah.
“Dasar Industri Pertahanan Negara mewajibkan 30 peratus kandungan tempatan tetapi ‘tempatan’ untuk siapa? Lumut Naval Shipyard sahaja mempunyai lebih 1,000 pekerja.
“Malaysia ada lebih 200 syarikat aeroangkasa dan tujuh taman aeroangkasa, tetapi tidak satupun di Borneo. Di Sabah, yang ada hanyalah penyelenggaraan dua kapal selam di Sepanggar oleh anak syarikat sebuah kumpulan dari Semenanjung.
“Sabah Shipyard di Labuan dahulu mempunyai lebih 5,000 pekerja. Penggantinya kini hanya sekitar 300,” katanya.
Beliau berkata, daripada empat penerima ICP (industrial collaboration programme) bernilai RM1.4 bilion yang dinamakan pada April lalu, hanya satu dari Borneo.
“Buku anggaran sendiri mencatatkan pencapaian ICP hanya 32 peratus pada 2025, berbanding sasaran 100 peratus. Sabah ketinggalan dua kali, di belakang Semenanjung dan di belakang Sarawak.
“Saya mencadangkan tiga perkara. Pertama, Hab Penyelenggaraan Maritim Borneo di koridor Sepanggar-Labuan. Kedua, kuota wilayah untuk Sabah dan Sarawak dalam DIPN (Dasar Industri Pertahanan Negara). Ketiga, Program Pembangunan Vendor Pertahanan Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan Sabah hanya meminta supaya kedudukannya sebagai barisan hadapan diterjemahkan ke dalam belanjawan.
“Kalau sempadan negara berada di Sabah, industri pertahanannya juga mesti berada di Sabah,” katanya. – Info X