Search

Shahelmey bakal terajui SAFA

March 11, 2023

admin

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya bakal mengambil alih jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) pada mesyuarat agung persatuan itu selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Beliau kini diberi tanggungjawab untuk menjaga hal ehwal SAFA dan Sabah FC susulan pengunduran Datuk Bung Moktar sebagai Presiden SAFA, Januari lalu.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Akademi SAFA, Azman Mastar pada pelancaran Akademi Bola Sepak SAFA (Akademi SAFA) bawah 12 tahun, 14 tahun dan 16 tahun, di Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.

Azman berkata, SAFA sebulat suara memberi mandat kepada Shahelmey untuk menerajui badan induk bola sepak Sabah itu dalam usaha membangun dan memajukan lagi sukan bola sepak negeri ini.

“Beliau (Shahelmey) diberi mandat untuk menjadi Presiden SAFA. Oleh itu kita berharap SAFA dapat diberikan peruntukan untuk pembangunan bola sepak negeri ini,” katanya ketika berucap pada pelancaran Akademi SAFA yang disempurnakan Shahelmey.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata soal pelantikan itu diserahkan kepada ahli SAFA untuk membuat keputusan pada mesyuarat agung persatuan berkenaan nanti.

Mengenai Akademi SAFA, Shahelmey menyifatkannya satu usaha yang tepat bagi mencungkil bakat pemain bola sepak yang boleh diketengahkan untuk mewakili Sabah atau negara pada masa depan.

Pada masa yang sama, katanya langkah itu juga dapat mengetengahkan bekas pemain dalam bidang kejurulatihan bola sepak ke arah melahirkan jurulatih yang bertauliah dari negeri ini.

“Harapan saya selaku menteri dipertanggungjawabkan menjaga pembangunan bola sepak Sabah agar objektif ini dapat direalisasikan.

“InsyaAllah, kita akan perkemaskan lagi SAFA dalam mesyuaratnya akan datang. Kita fokus pembangunan pemain muda kerana untuk melahirkan pemain bola sepak bukan dapat sehari semalam, tapi perlu bermula dari usia muda,” katanya.

Dalam pada itu, Shahelmey mengingatkan pengurusan SAFA supaya menekankan aspek ketelusan bagi memastikan tiada pilih kasih dalam pemilihan pemain berbakat.

“Ini penting untuk memastikan kita berjaya mencungkil bakat pemain dari seluruh pelosok Sabah. Elakkan pilih kasih dengan mendahulukan orang tertentu.

“Kita perlu terbuka dan telus serta melakukan aktiviti mengikut urus tadbir yang baik. Dengan itu agenda pembangunan bola sepak Sabah dapat dilaksanakan dengan baik.

“Akhirnya nanti kita mampu mengetengahkan lebih ramai pemain Sabah yang dapat mewakili negeri dan negara. Malah, kita ingin lihat ada pemain Sabah mewakili kelab antarabangsa di luar Malaysia,” katanya. – Info X