Search

Shahelmey belum buat keputusan bertanding pada PRN17

March 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya belum membuat keputusan sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) atau sebaliknya.

Penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat itu berkata, beliau faham risiko yang bakal dihadapinya jika bertanding pada PRN17, terutama kesan ke atas kerusi Parlimen Putatan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hampir dua tahun lalu.

“Saya faham dan sentiasa menerimanya dengan hati terbuka. Namun, setakat ini saya belum membuat sebarang keputusan dan akan buat keputusan bila tiba masanya kelak,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, malam tadi bahawa Shahelmey perlu patuh kepada peraturan dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen jika bertanding pada PRN17.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata beliau menyedari senario yang akan berlaku itu berikutan adanya akta anti lompat parti yang dikuatkuasakan ketika ini.

“Kenyataan dari Bung Moktar itu adalah berdasarkan senario yang boleh terjadi semasa PRN17 nanti berdasarkan akta anti lompat parti,” katanya.

Persoalan mengenai kedudukan kerusi Parlimen Putatan timbul memandangkan Shahelmey kini digantung oleh UMNO dan tidak mungkin dicalonkan semula mewakili parti itu pada PRN17.

Ia bermakna Shahelmey perlu bertanding atas tiket bebas atau parti lain, namun tindakan itu bertentangan dengan undang-undang anti lompat parti, sekali gus menyebabkan kerusi Parlimennya yang masih dianggap milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) diisytihar kosong. – Info X