Search

Shahelmey letak jawatan Presiden SAFA

December 23, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya mengumumkan meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) berkuatkuasa 1 Januari depan.

Bekas Timbalan Ketua Menteri itu berkata, surat rasmi peletakan jawatannya sudah diserahkan kepada Setiausaha Agung SAFA pada minggu lalu.

“Peletakan jawatan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, surat rasmi sudah saya serahkan kepada Setiausaha Agung SAFA pada minggu lalu,” katanya, di sini.

Berikutan keputusan itu, katanya Ahli Majlis Tertinggi (AMT) SAFA akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan.

Perkara itu katanya termasuk urusan pentadbiran dan hala tuju kepimpinan SAFA selepas beliau tidak lagi memegang jawatan berkenaan.

Shahelmey memegang jawatan Presiden SAFA sejak awal 2023 selepas peletakan jawatan penyandang ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Berikutan perkembangan terbaharu badan sukan bola sepak Sabah itu, seorang presiden baharu perlu dipilih bagi mengetuai SAFA, terutama dalam meneruskan kesinambungan pembangunan bola sepak negeri ini. – Info X