KOTA KINABALU: SIA Borneo Band dan Jazzeltone Mountain masing-masing telah dinobatkan sebagai juara bagi Kategori Pelajar dan Kategori Terbuka dalam Grand Final Lagu KITA – Celebrating Diversity yang berlangsung meriah pada malam Ahad di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah.
Pertandingan yang berlangsung pada Ahad itu merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Sabah yang mengetengahkan penulisan lagu dan persembahan band secara langsung berteraskan kepelbagaian budaya.
Ia dianjurkan oleh Sabah Unity in Diversity Community Partners (SUIDCP) dan Kelab Rotary Kota Kinabalu (RCKK) dengan sokongan daripada Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
SIA Borneo Band memukau juri dan penonton dengan lagu “Tokou”, sebuah karya bertemakan perpaduan yang menggabungkan unsur budaya Kadazandusun, Iban dan Cina.
Jazzeltone Mountain pula menampilkan lagu “Sabahku Warna Warni”, yang meraikan keunikan budaya dan keindahan alam semula jadi Sabah.
Kedua-dua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai, sesi rakaman studio, dan pakej penerbitan video muzik profesional sebagai ganjaran atas pencapaian mereka.
Antara persembahan lain yang turut mencuri tumpuan termasuk Sirens dengan lagu “Satu Hati, One Nation”, Jasper ft. Kill The Aries menerusi “Kita”, dan Symphony of Bayuz yang tampil dengan lagu berentak Bossa Nova bertajuk “Semuanya Ada di Sabah.”
Acara turut dimeriahkan dengan persembahan khas daripada artis jemputan tempatan termasuk Rimba Irama, Sanod Sundatang, dan penyanyi tersohor Sabah, Velvet Aduk.
Turut disampaikan pada malam itu ialah Anugerah Kostum Tradisional Terbaik bagi menghargai kreativiti dalam pemakaian budaya.
Majlis penutup telah disempurnakan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang turut menyampaikan penghargaan kepada penganjur dan peserta atas usaha memperkukuhkan perpaduan melalui ekspresi seni dan budaya.
Beliau menyifatkan pertandingan ini sebagai platform dinamik yang mampu memupuk keharmonian dan semangat kebersamaan dalam kalangan generasi muda. – Info X